5 Mac 2016, genap setahun anak perempuan Nurul. So, kene cucuk la kan. Sampai
klinik timbang 7.1kg. Masuk bilik dokter cakap “keciknye die..”
Kecik? Alahai dokter.. terus Nurul tanye kan dokter tu untuk kepastian
status berat badan anak Nurul tu. Sebab sebelum-sebelum ni memang ramai dah
yang bercakap pasal anak Nurul yang “kecik” tu. Sebagai ibu opkos la risau kan.. tapi rekod buku
masih dalam lingkungan yang normal.
“Bahaya ke dokter? Macam mana nak bagi cepat besar?” Best tak soklan
Nurul kat dokter.. Hahahaha..
“Takde ape ni, kecik tapi aktif. Jangan kecik, tapi tak aktif.. Haaa… itu
ada problem..” Dokter jawab camtu.. Fuuhhh.. Terus pandang ke mata suami “fuhhhh
lega..”
5 September 2016 genap anak perempuan Nurul 1 tahun 6 bulan. Keesokkan harinya,
pergi la ke klinik untuk ambil suntikan 1 tahun 6 bulan. Bila timbang, berat
anak Nurul 8.5 kg. Masih dalam lingkungan aras normal.
Makin cerdik, makin aktif dan makin-makin lagi. Alhamdulillah syukur pada
Allah.
Oh ya, kat bawah ni Nurul ada juga ibu yang ada masalah pasal berat
anaknya. Jom kita baca dan jawapan bagi soalan tu ya.
Semoga bermanfaat ya.
Soalan
Anak perempuan saya berusia 16 bulan.
Berat badannya baru mencecah 7.8 kg. Anak saya minum susu ibu sepenuhnya dan
tidak mempunyai masalah pemakanan. Pendek kata semua menu makanan yang
dihidangkan akan dimakan dengan habis.
Baru-baru ini doktor memberitahu anak
saya mempunyai berat badan tidak sesuai dengan usianya. Mengikut graf, anak
saya berada di garisan paling bawah dan hampir mencecah bayi
‘underweight’.
Persoalannya apa yang perlu saya
lakukan lagi untuk menaikkan berat badan anak? Untuk pengetahuan doktor,
anak saya lahir dengan berat 3kg pada usia kehamilan 37 minggu. Perlukah anak
saya diberi suplemen? Adakah anak saya memang ‘underweight’ atau normal?
Jawapan
Kebanyakan kanak-kanak akan membesar dan menambahkan berat badan dengan cepat
dalam beberapa tahun pertama kehidupan. Tetapi dalam beberapa kes, kanak-kanak
tidak memenuhi standard pertumbuhan yang diharapkan mengikut graf tumbesaran
masing-masing.
Pertumbuhan yang lemah biasanya menggambarkan kanak-kanak yang berat semasa,
atau kadar pertambahan berat badan, adalah jauh di bawah yang diharapkan
daripada kanak-kanak yang sama umur dan jantina yang sama.
Kegagalan pertumbuhan/tumbesaran bukanlah satu penyakit. Sebaliknya, ia adalah
tanda bahawa kanak-kanak kekurangan zat makanan. Secara umum, kanak-kanak yang
gagal untuk membesar mengikut graf masing-masing tidak menerima atau tidak
boleh mengambil, menyimpan, atau menggunakan kalori yang akan membantu mereka
membesar dan menambahkan berat badan.
Masalah ini perlu di kesan awal kerana pada tahun pertama kelahiran adalah satu
masa penting dalam pembangunan fizikal dan mental. Pemakanan yang tidak
sihat atau tidak mencukupi dalam tempoh ini mungkin mempunyai kesan pada
perkembangan otak.
Diagnosis
Kebanyakan bayi melalui tempoh singkat di mana mereka akan kehilangan berat
badan sedikit, kerana dijangkiti virus sama ada di salur pernafasan atau sistem
penghadaman yang menyebabkan mereka kurang selera makan atau muntah-muntah dan
cirit-birit. Ini bukan sesuatu yang luar biasa.
Walau bagaimanapun, jika berat badan bayi turun selama tiga bulan
berturut-turut pada tahun pertama kehidupan, dan keluar dari graf tumbesaran
mereka, doktor biasanya menjadi prihatin.
Doktor menggunakan carta pertumbuhan standard untuk memplotkan berat badan,
panjang/ketinggian, dan lilitan kepala, yang diukur pada setiap pemeriksaan
kanak-kanak. Ukuran kanak-kanak yang mencecah garisan bawah daripada graf
memerlukan penilaian yang sempurna dari pakar perunding kanak-kanak.
Untuk memahami masalah anak anda,
doktor akan meminta sejarah kesihatan kanak-kanak secara terperinci, termasuk
sejarah pemakanan dan diet anak anda. Ini membantu doktor memahami masalah
pemakanan anak anda. Pakar pemakanan atau lain-lain profesional penjagaan
kesihatan juga boleh terlibat dalam proses ini.
Doktor mungkin akan membuat ujian darah dan air kencing untuk memeriksa
sebarang masalah perubatan. Jika satu penyakit tertentu disyaki, doktor mungkin
membuat ujian lain untuk memeriksa keadaan itu.
Punca
Masalah ini adalah multifaktorial dan sering melibatkan masalah diet dan
tingkah laku pemakanan kanak-kanak yang biasanya boleh diubah dengan nasihat
dari pakar pemakanan atau doktor.
Beberapa perkara yang boleh menyebabkan kegagalan tumbesaran, termasuk:
1. Pengambilan makanan yang tidak mencukupi
Kebanyakan kes adalah berpunca daripada masalah pengambilan makanan yang tidak
mencukupi. Dalam beberapa kes, pengasuh tidak membancuh susu formula dengan
betul, contohnya 2 oz susu tepung ditambahkan kepada 4 oz air. Ini menyebabkan
bayi mendapat kalori yang kurang.
Masalah dengan peralihan kepada pepejal
juga boleh menyebabkan bayi kekurangan kalori. Bayi yang baru belajar mengenali
makanan pepejal mungkin tidak menyukai makanan tersebut pada percubaan pertama
dan pengasuh telah melabelkan anak itu tidak menyukai makanan tersebut
selama-lamanya dan seterusnya berlaku kepada makanan yang lain.
Percubaan makanan pepejal perlu diuji
beberapa kali di hari yang berbeza sebelum melabelkan anak anda tidak menyukai
makanan tersebut. Ibu bapa yang bimbang anak mereka akan mendapat lemak
berlebihan boleh menyekat jumlah kalori yang diberikan kepada bayi mereka.
Kadang-kala pengasuh/ibu bapa tidak
memberi perhatian yang cukup kepada isyarat kelaparan anak-anak mereka atau
tidak mampu memberi makanan yang cukup untuk anak-anak mereka.
2. Penyakit berterusan atau kronik
Kanak-kanak yang mempunyai masalah pemakanan kerana pramatang atau
bibir/lelangit sumbing, tidak boleh mengambil kalori yang cukup untuk menyokong
pertumbuhan normal. Penyakit seperti autisme di mana mereka tidak suka memakan
makanan dengan tekstur atau rasa tertentu menyebabkan proses pemakanan menjadi
sukar.
Penyakit lain yang melibatkan jantung,
paru-paru, sistem penghadaman atau sistem endokrin boleh meningkatkan jumlah
kalori yang diperlukan oleh kanak-kanak. Ini akan menyukarkan kanak-kanak makan
dengan cukup untuk bersaing dengan keperluan badan masing-masing.
3. Intolerans makanan
Intolerans makanan adalah berbeza daripada alahan makanan, bermakna badan
adalah sensitif kepada makanan tertentu. Sebagai contoh, intoleransi protein
susu bermakna badan tidak dapat menyerap makanan yang mempunyai protein susu,
seperti yogurt dan keju, yang boleh membawa kepada kegagalan untuk membesar.
4. Jangkitan
Parasit, jangkitan saluran kencing (UTI), batuk kering, dan jangkitan lain
boleh memaksa badan untuk menggunakan nutrien dengan cepat dan mengurangkan
selera makan. Dalam jangka masa pendek atau panjang, ini boleh menyebabkan
kegagalan tumbesaran.
5. Gangguan metabolik
Gangguan metabolik adalah keadaan kesihatan yang menyukarkan badan untuk
memproses, atau mengambil tenaga daripada makanan. Gangguan ini juga boleh
menyebabkan kanak-kanak kurang selera makan atau muntah-muntah.
Rawatan
Kadang-kadang gabungan masalah kesihatan dan faktor-faktor alam sekitar membawa
kepada kegagalan pertumbuhan anak anda.
Rawatan untuk kanak-kanak yang mempunyai pertumbuhan yang lemah bergantung
kepada punca masalah masing-masing, sama ada masalah kesihatan atau masalah
pemakanan.
Pemakanan adalah pemacu utama bagi pertumbuhan kanak-kanak dan ini sepatutnya
menjadi tumpuan utama penilaian awal, walaupun sejarah yang teliti dan
pemeriksaan untuk sebab-sebab lain yang berpotensi juga penting.
Soalan berikut dijawab oleh Dr Shariza
Lukman, Pakar Perunding Pediatrik (BSC MEDICAL SCIENCE (SCOTLAND), MBCHB (UK),
MRCPCH (UK), MSC CHILD HEALTH (UK), Pantai Hospital Klang.